
Deklarasi wang? Kebanyakannya berkaitan dengan wang. Abang Bana boleh kata Wang ni lah kebahagiaan rakyat termasuk Abang Bana sendiri. Zaman sekarang ni, Ada duit baru boleh bahagia agaknya, sedangkan zaman dulu, makan ubi kayu tanam sendiri, makan ikan mancing sendiri, makan sayur petik sendiri. Zaman sekarang ni memang banyak benda yang perlu kita tempuhi. Sentiasalah ingat Allah. Berdoa dan berusaha.
1. Kami,
warga Malaysia seperti nama-nama berikut ingin menyatakan kebimbangan
kami terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.
2. Kami
ingin menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap kerosakan yang telah
dilakukan kepada negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Sri
Najib Tun Razak.
3. Di
bawah pentadbirannya negara jatuh tersenarai sebagai salah satu daripada
10 negara yang paling banyak mengamalkan rasuah mengikut laporan Ernst
and Young Asia Pacific Fraud Survey Report Series 2013. Malaysia juga
telah jatuh empat anak tangga Indeks Persepsi Rasuah 2015, dari 50 ke
54.
4. Ini
adalah kerana dianya percaya yang wang tunai boleh mempastikan
kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia percaya bahawa duit
adalah segala-galanya – “Cash is King”.
5.
Peruntukan kepada semua Kementerian dan institusi awam termasuk
universiti telah dikurangkan kerana ketandusan kewangan. Walaupun telah
diperuntukkan, tidak ada sumber kewangan.
6. Pada
tahun 2009, beliau telah menubuhkan satu Dana Kekayaan Negara (Sovereign
Wealth Fund) bertujuan untuk menjana pendapatan bagi Kerajaan.
7. Dia
menubuhkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kemudiannya
dibebani hutang sebanyak RM42 bilion yang tidak dapat ditanggung. Ianya
tidak lagi menjadi Dana Kekayaan. Sebaliknya Dana Hutang Negara.
8. 1MDB
telah meminjam RM20 bilion untuk membeli tiga janakuasa elektrik pada
harga yang RM12.1 bilion, melebihi harga pasaran. Walaupun diberi
kontrak untuk membina janakuasa baru selain lanjutan bagi konsesi yang
hampir tamat, syarikat-syarikat janakuasa 1MDB ini telah dijual pada
harga RM9.83 bilion dengan kerugian berjumlah RM2.27 bilion.
9. 1MDB
juga telah melabur atau meminjamkan sebanyak US$1.83 bilion kepada
Petrosaudi International (PSI) Limited diantara 2009 dan 2011 di dalam
projek-projek dan aset yang tidak wujud. Bank Negara Malaysia telah
meminta supaya 1MDB membawa pulang semula wang tersebut ke Malaysia
kerana kebenaran yang diberi untuk pelaburan berdasarkan kepada maklumat
yang tidak tepat. Daripada jumlah ini, sebanyak US$1.45 bilion telah
secara langsung atau tidak langsung disalurkan kepada syarikat Good Star
Limited dan lain-lain syarikat dibawah penguasaan Low Taek Jho.
10. Untuk
menutup kehilangan wang tersebut, 1MDB telah melupuskan pelaburan dan
pinjaman ke PSI untuk US$2.318 bilion, dengan mendakwa yang ianya telah
membuat keuntungan sebanyak US$488 juta. Bagaimanapun, tidak ada sesen
pun daripada jumlah ini yang dipulangkan ke Malaysia. Sebaliknya 1MDB
mendakwa yang wang tersebut telah dilabur di dalam dana di Kepulauan
Caymans, yang kemudiannya telah di bongkar sebagai sebuah firma
pengurusan pelaburan tidak berlesen. KPMG telah disingkir sebagai
juruaudit 1MDB kerana enggan mengesahkan nilai pelaburan dana Caymans
yang penuh misteri.
11. 1MDB
mendakwa juga yang pelaburan di Kepulauan Caymans ini telah pun ditebus
sepenuhnya. Sebanyak US$1.22 bilion telah dilaporkan ditebus pada 5hb
November 2014, tetapi telah digunakan pada hari yang sama untuk membayar
ganti rugi kepada Aabar Investments PJS. Ini merupakan gantirugi kerana
menamatkan opsyen yang diberi kepada Aabar untuk membeli 49 peratus
saham di dalam syarikat-syarikat janakuasa 1MDB. Ini merupakan satu
penipuan kerana, syarikat induk Aabar, International Petroleum
Investment Corporation (IPIC), tidak pun menyebut tentang penerimaan
pembayaran tersebut di dalam akaunnya yang diaudit dan tersiar di London
Stock Exchange. Sebaliknya akaun IPIC menyebut bahawa 1MDB terhutang
sejumlah US$481 juta kepadanya kerana penamatan opsyen tersebut.
12. 1MDB
juga telah mengambil hutang berjumlah US$975 juta daripada konsortium
Deutsche-Bank pada bulan September 2014, untuk tujuan yang sama iaitu
membayar ganti rugi kepada Aabar. Akhbar the Wall Street Journal
membongkar bahawa wang tersebut telah digunakan untuk membayar pihak
lain di British Virgin Islands yang mempunyai nama yang lebih kurang
sama iaitu, “Aabar Investment PJS Limited”, yang dimiliki oleh pihak
yang tidak ada kena mengena dengan IPIC. Penipuan licik ini telah
berjaya memperdayakan juruaudit 1MDB, Deloitte Malaysia yang mempercayai
bahawa bayaran telahpun diterima Aabar kepunyaan IPIC.
13. 1MDB
mengumumkan bahawa ia telah membuat tebusan kedua dan terakhir berjumlah
RM1.1 bilion daripada pelaburan di kepulauan Cayman pada bulan Januari
2015. Pada mulanya Perdana Menteri memaklumkan kepada Parlimen bahawa
jumlah tersebut telah dimasukkan ke dalam Bank BSI di Singapura. Dua
bulan kemudian, pada bulan Mei 2015, dia memberitahu Parlimen bahawa,
ianya bukanlah di dalam bentuk wang tunai, tetapi aset. Kemudian,
dijelaskan pula yang aset-aset ini merupakan “unit” yang bermakna bahawa
ianya tidakpun ditebus. Ini membuktikan yang 1MDB dan Perdana Menteri
telah berulang-kali menipu rakyat Malaysia. Ianya juga bermakna bahawa
wang yang dilaburkan di dalam Petrosaudi yang kemudiannya dilabur semula
di Kepulauan Caymans, masih lagi hilang dan tidak dapat diperakukan.
14.
Seorang bekas naib ketua bahagian UMNO Batu Kawan telah membuat laporan
polis berkenaan kehilangan sejumlah wang yang besar oleh 1MDB. Tiada
sebarang siasatan dilakukan polis. Sebaliknya pengadu telah
disoal-siasat polis, ditahan dan didakwa dibawah Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana mensabotaj
ekonomi negara. Peguam beliau juga ditahan dan didakwa dibawah Akta yang
sama. Ini menakutkan sesiapa sahaja yang ingin melapor pada Polis
berkenaan dengan 1MDB.
15. Akhbar Wall Street Journal melaporkan yang Najib mempunyai US$681 juta Dolar di dalam akaun peribadinya di Ambank.
16. Najib
pada mulanya menafikannya, tetapi kemudian mengakui bahawa dianya
mempunyai sejumlah wang yang banyak di dalam akaun peribadinya. Dia
mendakwa menerima derma dari seorang Arab, kemudian ianya menjadi derma
untuknya memenangi Pilihanraya Umum ke-13; kemudian pula menyatakan
ianya adalah kerana dedikasi beliau menentang keganasan. Dia kemudiannya
mendakwa menerima duit berkenaan daripada seorang Putera Raja Arab
Saudi, dan kemudian daripada Raja Arab Saudi yang telah mangkat.
17.
Kemudian seorang Menteri Arab Saudi menyatakan bahawa tidak terdapat
apa-apa rekod berkenaan sebarang hadiah daripada Arab Saudi. Beliau
mencadangkan bahawa wang tersebut mungkin merupakan pelaburan. Tetapi
jumlahnya kecil.
18. Najib
menyatakan hasrat untuk menyaman Wall Street Journal di mahkamah. Tetapi
dia tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya dia meminta peguamnya bertanya
kepada Wall Street Journal kenapa akhbar itu menyiarkan laporan
tersebut.
19. Hingga
ke hari ini WSJ berterusan mengeluarkan laporan demi laporan dengan
fakta terperinci berkenaan dengan duit sejumlah US$681 juta yang
terdapat di dalam akaun peribadinya. Dianya masih tidak mengambil
tindakan saman terhadap WSJ, sesuatu yang boleh dilakukan di negara di
mana WSJ diterbitkan.
20.
Khuatir dan syak dengan jumlah wang banyak dalam akaun peribadi Najib,
satu pasukan petugas ditubuhkan di Malaysia untuk menyiasat sumber wang
tersebut. Empat institusi Kerajaan terlibat, Polis DiRaja Malaysia,
Peguam Negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
21.
Belumpun pasukan petugas berjaya selesaikan penugasan mereka, Peguam
Negara, di singkir oleh Najib atas alasan beliau sakit dan tidak mampu
meneruskan tugasannya. Secara terang Najib telah memberi gambaran yang
tidak benar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan
Tuanku bagi menggantikan Peguam Negara. Jawankuasa Kira-Kira Wang Negara
dilumpuhkan apabila pengerusi serta beberapa ahlinya dipindahkan oleh
Najib bagi menghalang penyiasatan keatas 1MDB. Pengerusi baru, kenalan
Najib dilantik dan beliau secara spontan menyatakan yang Najib tidak
melakukan apa-apa kesalahan.
22. Najib
kemudian melantik Peguam Negara baru. Peguam Negara baru menolak
cadangan Bank Negara untuk tindakan diambil sambil mendakwa yang tidak
ada apa-apa di dalam laporan tersebut yang menunjukkan bahawa Najib
melakukan kesalahan.
23. Rayuan Bank Negara tidak diendahkan.
24. Peguam
Negara yang baru juga menolak lagi satu laporan daripada SPRM.
Kandungan laporan tidak didedahkan dan ancaman dibuat terhadap
pendedahan laporan tersebut.
25. Peguam
Negara baru juga tanpa penjelasan yang munasabah menolak cadangan dari
dua institusi yang mempunyai kuasa dan kepakaran dalam bidang mereka.
26.
Penolakan ini juga menghalang perkara tersebut dibawa ke mahkamah di
mana semua bukti dapat diketengahkan dan dibicarakan. Dengan ini Peguam
Negara memain peranan sebagai pendakwa dan juga hakim. Proses
undang-undang terhalang.
27.
Timbalan Perdana Menteri yang disingkir kemudian mendedahkan yang Peguam
Negara yang lama telah menunjuk bukti kesalahan yang dilakukan Najib
bersangkutan skandal-skandal tersebut. Di masa yang sama, beberapa
agensi Kerajaan asing, iaitu Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat,
Hong Kong dan Britain, telah memulakan siasatan ke atas 1MDB.
28. Akhbar
di Malaysia ditapis menyebabkan rakyat lebih bergantung kepada laporan
media asing. Tetapi apabila rakyat berbincang atau menulis berdasarkan
laporan media asing, Kerajaan menerusi Ketua Polis Negara menjemput
sesiapa sahaja untuk membuat laporan polis agar polis dapat menjalankan
soal siasat terhadap orang itu.
29. Ini
bercanggah dengan kegagalan polis menyiasat laporan polis yang dibuat
terhadap Najib, Jho Low dan laporan Bank Negara dan SPRM kepada Peguam
Negara. Peguam Negara juga mengugut untuk jatuhkan hukuman penjara
seumur hidup dan 10 sebatan rotan terhadap sesiapa yang bertindak
membocor maklumat Kerajaan. Ini bermakna yang kesalahan jenayah di dalam
pentadbiran Kerajaanpun akan dilindung daripada pengetahuan awam.
30. Peguam
Negara mengumumkan bahawa sebahagian daripada sejumlah RM2.6 bilion
(sebanyak RM2.3 bilion) telah dipulangkan kepada Arab Saudi. Selain
daripada kenyataan ini tiada bukti lain yang dikemukakan.
31. Rakyat juga semakin menderita.
32. GST
yang dikenakan Najib, kenaikan kadar tol lebuhraya, kesemuanya
mengakibatkan kenaikan kos sara hidup, memaksa perniagaan ditutup,
menyebabkan industri kepunyaan asing menghentikan operasi dan berpindah
kepada negara lain. Ini mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran.
33.
Walaupun rakyat membantah, Najib tetap menyertai Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPP) Amerika yang mengikis hak kita untuk membuat dasar
dan undang-undang yang sesuai bagi negara kita.
34. Hari
ini imej Malaysia amat buruk sekali. Selain diklasifikasikan antara 10
negara terburuk mengamalkan rasuah, Malaysia juga dianggap tidak
demokratik. Hak kebebasan bersuara juga kebebasan akhbar terhalang, dan
rakyat hidup dalam ketakutan ditangkap dan ditahan. Akta Majlis
Keselamatan Negara digubal untuk memberikan Perdana Menteri dan bukan
Yang di-Pertuan Agong kuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai
kawasan keselamatan dimana sesiapa sahaja boleh ditangkap dan ditahan
tanpa bicara dan didakwa dibawah prosidur yang melanggar batas keadilan
yang diterima.
35.
Sebaliknya pula jika berlaku kesilapan dalam penggunaan Akta ini oleh
pegawai Kerajaan, atau di mana terdapat salahguna kuasa, rakyat tidak
boleh mengambil apa bentuk tidakan terhadap mereka. Whistleblowers, atau
pemberi maklumat, diganggu dan dihukum, dan bukannya diberi
perlindungan. Undang-undang lain digunakan yang menyekat kebebasan
bersuara menegur salahlaku. Hak asasi yang termaktub di dalam
Perlembagaan Persekutuan tidak lagi membawa apa-apa makna.
36. Oleh kerana sebab-sebab ini, kami rakyat Malaysia seperti yang tertera bersetuju dan menyokong;
a) penyingkiran Dato’ Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.
b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya
c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih dan
d) pemulihan integriti insititusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC
a) penyingkiran Dato’ Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.
b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya
c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih dan
d) pemulihan integriti insititusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC
37. Kami
menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, ugama,
politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama
kami selamatkan Malaysia daripada Kerajaan yang dipimpin Dato Seri Najib
untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses
demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif,
legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti,
profesionalisme serta integrity institusi-institusi nasional.
Tag :
deklarasi rakyat,
najib. mahathir
0 Komen untuk "INILAH 37 PERKARA DALAM DEKLARASI RAKYAT "